Friday, June 13, 2014

PENGEMUDI BAHTERA MERDEKA JOHOR

Pengemudi Bahtera Merdeka Johor 
Buku Pengemudi Bahtera Merdeka Johor ini diterbitkan khas sempena sambutan ke-55 tahun kemerdekaan negara. Dalam siri pertama hingga kelima tokoh-tokoh yang dimuatkan dalam siri tersebut adalah tokoh-tokoh Johor yang telah banyak menyumbangkan jasa bakti mereka terhadap negara dan masyarakat dalam bidang masing-masing. Namun dalam siri keenam ini pemilihan lebih diutamakan kepada tokoh-tokoh politik yang banyak menyumbangkan baktinya terhadap perjuangan membebaskan tanah air ini daripada cengkaman penjajah dan mengisi kemerdekaan.

Sebanyak 34 tokoh telah dipilih untuk dimuatkan ke dalam buku ini. Kebanyakan riwayat hidup tokoh-tokoh ini telah pun dimuatkan ke dalam siri yang terdahulu, namun dalam siri yang terbaru ini tumpuan lebih mendalam diberi terhadap perjuangan mereka ke arah kemerdekaan. Namun demikian ada juga tokoh-tokoh lain yang riwayat hidupnya belum diabadikan dalam siri sebelumnya tetapi sumbangan mereka amat besar dan bermakna dalam perjuangan menuntut dan mengisi kemerdekaan. Justeru, nama tokoh-tokoh ini juga dimuatkan dalam siri yang terbaru ini iaitu Pengemudi Bahtera Kemerdekaan Johor. 

Ramai tokoh politik Johor yang dimuatkan dalam buku ini yang berjaya menjana nama di seluruh negara sama ada dalam parti ataupun dalam kerajaan. Sudah tentu tokoh Johor yang amat ternama di peringkat nasional ialah Dato' Onn bin Jaafar. Jasa terbesarnya ialah menyatu-padukan orang Melayu; sebelum 1946 Melayu masih terbelenggu dalam semangat kenegerian dan kesukuan. Dato' Onn telah berjaya memecahkan kotak-kotak ini dan menyuburkan semangat keMelayuan Semenanjung dengan semboyan 'Hidup Melayu'. 

Buku ini telah menghimpunkan biografi tokoh-tokoh besar di dalam satu jilid yang memudahkan pembaca membuat rujukan apabila diperlukan. Lagi pula melihat pengalaman mereka masing-masing secara keseluruhan memudahkan pembaca memahami sejarah perjuangan untuk mencapai kemerdekaan, mempertahankan jati diri dan memberi wadah dan makna kepada kemerdekaan negara. Hidup Melayu!


Editor: Abu Bakar A. Hamid, Md Ismail Zamzam, Kamdi Kamil 
Penerbit: Yayasan Warisan Johor 
Tahun: 2012
Bil. Muka Surat: 484
Kulit: Lembut
Harga: RM 65.00
Pos Laju: RM10.00

0 ulasan:

Post a Comment