Friday, June 13, 2014

SENJATA-SENJATA DI ZAMAN KESULTANAN MELAYU JOHOR

Senjata-Senjata Di Zaman Kesultanan Melayu Johor
Keris yang asalnya dari perkataan kekeratan 'Ke' dan 'aris' yang bermakna tenang, lambat dan halus adalah kelompok senjata tikam yang merupakan lambang kekuatan para hulubalang serta kerajaan-kerajaan purbakala di zaman dahulu. Di Aceh ia dikenali sebagai Rencong, di Sulawesi sebagai Badek, Jawa Barat sebagai Kujang dan Jawa Tengah serta Timur sebagai Keris. Kini ianya menjadi lambang kebangaan orang-orang Melayu serta kepulauan sekitarnya. Dipercayai seni perkerisan telah bertapak sejak 600 tahun dahulu di Tanah Melayu. Terdapat juga cacatan sejarah tentang penemuan senjata pendek bergambar manusia pada hulunya yang dijumpai di Vietnam lebih 2000 tahun dahulu. Penemuan ini menunjukkan kekayaan seni persenjataan tradisional yang pada suatu masa dahulu berkembang dengan begitu pesat.

Jika diteliti sejarah purbakala, terdapat unsur-unsur alam semulajadi seperti tanah, batu, pasir, tembaga besi, emas, perak, berlian, batu permata serta batu delima yang menghiasi dan memperkukuhkan bentuk keris serta senjata-senjata lain. Elemen-elemen ini jarang kita ketemui di dalam seni perkerisan kini. Senjata di akhir abad ke-20 kini didapati tercipta menggunakan alat-alat tertentu. Sebagai perbandingan kita dapati seni pertukangan senjata dahulu terutamanya keris dihasilkan melalui tangan-tangan manusia serta unsur-unsur tradisional lain dengan penuh ketelitian dan peradaban. Mereka ini dikenali sebagai Empu yang menjalankan aktiviti pertukangan keris ini di dalam lingkungan istana. Jelas, ianya merupakan suatu kerjaya yang dikagumi suatu masa dahulu. Keris-keris ini kemudiannya disepuh dengan pelbagai air yang didapati dari unsur-unsur semulajadi yang suci seperti air hujan, air yang tersimpan di masjid dan air dari tujuh kuala/pulau. Upacara sepuhan ini juga dilakukan pada hari-hari yang diutamakan seperti hari Jumaat dan pada bulan Ramadhan.

Tidak hairanlah, unsur-unsur suci ini menjadikan senjata sebagai alat persenjataan (untuk tujuan yang hak), kekebalan dari malapetaka, semangat yang kuat, peribadi yang tinggi, penyembuh penyakit, sebagai azimat serta bagi upacara pembersihan jiwa. Namun begitu, setiap upacara serta kepercayaan di atas dipengaruhi oleh pegangan agama serta adat yang praktis oleh masyarakat sezamannya.

Atas pengaruh inilah keris dan senjata-senjata lain tidak terlepas dari unsur-unsur jahat yang dianuti oleh penggunanya yang tidak diredhai Allah S.W.T. Akan tetapi kita harus berbangga kerana senjata-senjata ini walaupun telah hilang sebahagian besar unsur-unsur kekuatannya, masih lagi diterima dan telah diangkat martabatnya sebagai alat kebesaran diraja amnya dan di Johor khasnya. Senjata-senjata juga didapati digunakan di dalam upacara-upacara persilatan serta pameran dan menjadi koleksi berharga pencinta senjata tanah air.


Penulis: Hanizah Jonoh
Penerbit: Yayasan Warisan Johor
Tahun: 1997
Bil. Muka Surat: 130
Kulit: Lembut
Harga: RM 97.00
Pos Laju: RM 6.00 (S.M) RM 9.00 (Sabah/Sarawak)

Stok: Ada

0 ulasan:

Post a Comment